Kelebihan Membaca Surah Al-Mulk. Berikut kami akan kongsikan sedikit info Surah Al-Mulk yang perlu kita tahu. Jadikan ini sebagai iktibar untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah
SATU surah di dalam al-Quran sekiranya ia diamalkan, maka orang yang membacanya, apatah lagi dapat menghafaznya akan terlepas daripada azab kubur.
Ia adalah Surah Al-Mulk yang mengandungi 30 ayat. Surah itu juga disebut sebagai At Tabaarak yang bermakna Maha Suci.
Sebab itu, Nabi SAW menyarankan umatnya supaya tidak meninggalkan bacaan al-Quran pada setiap hari.
Hati orang yang membaca al-Quran akan sentiasa tenang, dijauhi daripada bisikan syaitan serta dirinya turut dihormati.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)
Kelebihan Membaca Surah Al-Mulk
Disini dikongsikan senarai Surah Al-Mulk yang boleh dijadikan panduan..
1. DIAMPUNKAN DOSA BAGI YANG MEMBACANYA
Menurut JAKIM, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”.
(Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dan status hadith ini adalah Hadith Hasan)
Hadith ini menunjukkan kelebihan surah “Tabaraka”. Orang yang sentiasa mengamalkan membaca surah “al-Mulk” sehingga akhir surah akan diampunkan oleh Allah SWT segala dosanya. Kerana itu surah ini sangat wajar dihafaz dan dibaca setiap hari.
*Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
2. SURAH AL MULK PENYELAMAT DARI AZAB KUBUR
Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang kelebihan orang yang membaca Surah al-Mulk pada setiap malam.
Hadith yang menyatakan kelebihan berkenaan adalah seperti berikut:
Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat.
Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.
Hadith riwayat al-Tirmidzi : 2890
*Sumber: Mufti Wilayah
3. AMALAN NABI SAW SETIAP MALAM
Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah (surah As Sajdah dan surah Al Mulk).
Daripada Jabir beliau berkata:
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ وَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
“Sesungguhnya Nabi Saw. tidak tidur hingga beliau membaca surah تَنزِيلُ الٓمٓ (Surah al-Sajdah) dan تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Oleh itu sebelum tidur, pastikan kita ambil sedikit masa untuk membaca Surah Al-Mulk dan mencontohi sunnah Nabi SAW.
amalan bulan zulhijjah
4. SURAH AL MULK MENJADI PEMBELA DI HARI AKHIRAT
Surah ini juga akan menjadi pembela kepada orang yang membacanya di Hari Akhirat sehingga pembacanya masuk ke Syurga Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْآنِ، مَا هِيَ إِلاَّ ثَلاَثُوْنَ آيةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ اْلجَنَّةَ، وَ هِيَ تَبَارَكَ
“Ada surah dari Al-Quran, ia tidak terdiri kecuali hanya 30 ayat. Surah tersebut dapat membela pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga memasukkannya ke syurga iaitu, surah تَبَارَكَ
(Hadis Riwayat Thabrani)
5. DIGELAR SURAH AL MANI’AH DAN AL MUNJIAH
Hebatnya kelebihan surah Al Mulk, ia juga digelar sebagai surah Al-Mani’ah (penghalang) dan Al-Munjiah (penyelamat) kerana surah tersebut menghalang dan menyelamatkan mereka yang selalu membaca atau menghafalnya daripada siksa kubur dan siksa api neraka.
(Hadith Riwayat An Nasai)
JOM KITA SAMA-SAMA AMALKAN SURAH AL MULK!
Memang banyak kelebihan ayat-ayat Al Quran, di mana setiap butir huruf dan perkataannya terkandun seribu satu hikmah apabila ia dibaca, dilazimi, difahami dan ditadabbur.
Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan amalan membaca surah Al Mulk dengan harapan apabila biasa melazimi bacaan Surah Al-Mulk dan ditakdirkan kita meninggal dunia, Allah SWT akan sudi mengampuni segala dosa kita, menyelamatkan kita dari azab kubur serta mengharumkan perkuburan kita menjadi sebahagian taman daripada taman syurga.
Kredit >> hmetro & siraplimau
No comments:
Post a Comment